Wednesday, 6 January 2016

Gunalah tangan kanan

USAH TERIKUT-IKUT ATURAN ETIKA PEMAKANAN ALA BARAT

Islam ada tatacara dan etika pemakanan tersendiri yang pastinya tidak cocok dengan sesetengah etika pemakanan ala Barat. Saya sering perhatikan dalam majlis2 rasmi yang saya hadiri, ramai yang menggunakan tangan kiri apabila menyuap makanan terutamanya apabila menggunakan pisau dan garfu. Apabila ditegur seringkali ditegaskan bahawa itulah etika pemakanan yang betul berasaskan prinsip yg disebutkan 'table manners'. Bagi saya tiada salahnya untuk mengadaptasi penggunaan pisau dan garfu tetapi diubah suai mengikut prinsip Islam dengan memastikan tangan kananlah yang sentiasa digunakan untuk menyuap makanan. Ini seiring dengan saranan baginda Junjungan SAW sebagaimana sunnahnya yang diriwayatkan dalam banyak hadis antaranya:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

"Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah dia makan  dengan tangan kanan, dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanan, sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri". Hadith sahih riwayat Muslim.

Dalam hadis lain seorang lelaki yang keras pertahankan cara menyuap makanan turut ditegur Nabi SAW:

أَنَّ رَجُلًا أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - بِشِمَالِهِ فَقَالَ كُلْ بِيَمِينِكَ قَالَ لَا أَسْتَطِيعُ قَالَ لَا اسْتَطَعْتَ مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ

Sesungguhnya seorang lelaki makan di sisi Rasulullah saw dengan tangan kirinya, kemudian baginda saw bersabda kepadanya: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tidak mampu (makan dengan tangan kanan)". Perawi hadith berkata: "Tidaklah yg menghalangnya (dari makan dengan tangan kanan kecuali rasa sombong (untuk mengikuti suruhan Nabi saw)". Kemudian dia tidak dapat mengangkat tangannya ke mulutnya. Hadith sahih riwayat Muslim.

No comments:

Post a Comment